Spiga

: : Ahlan Wasahlan | Selamat Datang : :

: :  Ahlan Wasahlan | Selamat Datang : :

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) TERBAIK DI MALAYSIA 2005

Pelajar terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan, Rabiatul Adawiah A. Basir berkata beliau tidak pernah berasa gugup ketika menghadapi peperiksaan kerana telah bersedia sejak awal lagi.

Anak sulung daripada lima beradik dari Sekolah Menengah Agama Tok Jiring dekat sini, berkata beliau mengambil masa antara tiga dan empat jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran dan tidak menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.

"Saya tidak pernah memasuki kelas tuisyen di luar sekolah. Saya belajar secara berkumpulan dengan kawan-kawan sekelas," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Agama Tok Jiring.

Rabiatul Adawiah muncul pelajar terbaik peringkat kebangsaan dalam PMR tahun ini selepas memperolehi gred A dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diambilnya.

Beliau yang meminati Bahasa Arab dan bercita-cita menjadi doktor berkata, tiada formula khusus baginya menghadapi PMR selain memberikan lebih tumpuan semasa guru mengajar di samping tidak meninggalkan solat serta mentaati kedua ibu bapanya.

Sementara itu rakan sekelasnya sejak di sekolah rendah lagi yang juga merupakan antara 54 pelajar cemerlang peringkat kebangsaan, Zuriati Afifah Mohamad pula melahirkan rasa syukur kerana beroleh kejayaan pada peperiksaan itu.

"Saya juga bercita-cita menjadi doktor suatu hari nanti," kata anak kedua kepada pasangan guru agama yang turut memperolehi 9A dalam peperiksaan itu.

Pelajar itu yang tinggal di Kampung Tok Jiring, berkata beliau sering belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama Rabiatul Adawiah.

Di KUCHING, pembelajaran konsisten serta pengurusan masa yang baik adalah faktor utama kejayaan Mohd Akmal Mohd Syafiq Suresh untuk muncul pelajar paling cemerlang antara 30 pelajar cemerlang di seluruh negara yang mendapat keputusan 8A.

"Saya tiada strategi khusus cuma saya beruntung bersekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah (SM) Alam Shah, Putrajaya yang sudah mempunyai jadual harian yang perlu diikuti setiap hari," katanya kepada Bernama.

Pelajar itu yang tinggal di Kabong, Bahagian Betong, kira-kira lima jam perjalanan dari sini, berkata, selepas PMR, beliau ingin menumpukan usaha untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Akmal yang bersekolah di SM Alam Shah sejak tahun 2003 di bawah tajaan Yayasan Sarawak dalam program Intergrasi Pelajar dan bercita-cita menjadi doktor berkata, pengajaran subjek Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris tidak membebankan.

Sementara itu kejayaan Ilmy Dajai mencapai keputusan 7A mencipta sejarah tersendiri bagi Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Dato Patinggi Haji Gapor (DPHG).

Pengetua sekolah itu Hasanah Junaidi berkata, sejak sekolah tersebut dibuka pada tahun 1973, belum ada mana-mana pelajar mencatat keputusan cemerlang 7A dalam PMR.

"Saya berharap kejayaan Ilmy akan memberi perangsang kepada pelajar lain sekolah ini," katanya.

Ilmy yang merupakan antara 10 pelajar cemerlang di seluruh negara yang mendapat keputusan 7A, berkata pembahagian masa yang seimbang adalah punca kepada kejayaan cemerlangnya.

"Saya banyak buat kerja rumah dan mengulang kaji dari pukul 8 hingga 10 malam setiap hari," katanya.

Di JOHOR BAHARU, calon paling cemerlang yang mendapat keputusan 7A, Tay Su Ann berkata beliau tidak pernah mempunyai jadual pembelajaran yang ketat dalam menghadapi peperiksaan itu.

Su Ann ketika ditemui di perkarangan sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent berkata beliau hanya mengulang kaji pelajaran mengikut waktu yang dirasakan sesuai malah masa yang terluang sering digunakan untuk menonton televisyen, membaca buku cerita dan melayari Internet.

Menceritakan rahsia kecemerlangannya, anak bongsu dari tiga beradik ini berkata dia lebih suka belajar bersendirian yang ternyata lebih memberi tumpuan berbanding belajar secara berkumpulan.

Su Ann turut mengikuti kelas tuisyen di luar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kerana menurutnya:" Tuisyen Bahasa Inggeris amat perlu lebih-lebih lagi subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ini".

0 comments: